Thursday, January 9, 2014

Minda Positif

Anak meraung di sekolah


Tanamkan minda positif pada anak-anak tentang sekolah, rakan-rakan dan apa yang boleh dipelajari di sekolah agar hilang perasaan takut. 
Anak kecil meraung tidak mahu ditinggalkan. Ibu atau bapa yang menghantar nampak serba salah. Para guru cuba menenangkan anak-anak kecil yang baru hendak belajar erti pergi ke sekolah.








Namun, ada juga yang tidak berjaya ditenangkan, maka ibu atau bapa terpaksa menunggu di luar bilik sekolah supaya mata anak akan sentiasa nampak bahawa dia tidak ditinggalkan. 







Mengapakah ini masih berlaku dalam pendidikan negara yang semakin moden dan bakal mencapai status negara maju?







Ingatan saya dibawa balik ke zaman saya memasuki sekolah. Pada masa itu darjah satu. Namun, saya sudah dua tahun mengikut ayah mengajar di sekolah.
Pada zaman itu, tadika masih belum wujud lagi. Oleh itu anak-anak guru, berpeluang mengikut ayah atau ibu ke sekolah. Sekolah ikut-ikut namanya.






Sebenarnya, saya sudah melihat kakak saya yang setahun tua daripada saya pergi ke €˜sekolah Ikut-ikut€™ ini, namun, semasa giliran saya pula, saya masih keliru mengapa saya pergi juga ke sekolah. 







Saya lagi suka bermain di rumah dengan emak saya. Saya juga sudah pandai membaca, menulis dan melukis.






Mengapa pula hendak ke sekolah juga. Pergi ke sekolah perlu bangun pagi dan mandi air sejuk. Sangat-sangat tidak mengembirakan. Begitulah pemikiran saya semasa itu.
Apabila masuk ke darjah satu, saya sudah biasa ke sekolah, oleh itu isu itu tidak timbul lagi. Namun ada pula isu lain iaitu isu hairan melihat mengapa ada kawan-kawan yang menangis meraung-raung dan berpaut pada kaki emak atau ayah mereka.







Hairan. Semuanya sangat berlainan dengan €˜sekolah ikut-ikut€™. Ayah saya tidak ada di situ. Guru-guru pun semuanya besar-besar , suasana pun pelik dan tidak menenangkan. Ramainya orang, bisingnya bunyi, kena duduk diam dan banyak lagi.
Mengapa saya membawa cerita itu? Ya, kerana inilah apa yang ramai anak-anak kita lalui pada minggu pertama persekolahan. Mereka merasakan pelbagai perasaan.
Banyak ruang selesa (comfort zone )yang perlu dipecahkan dan bila ini berlaku, maka keselesaan emosi dan mental tercabar. Walaupun dunia telah maju, fenomena ini masih wujud kerana keperluan asas utama manusia itu masih sama. Manusia perlukan rasa selamat. Apatah lagi manusia yang kecil itu.







Apabila rasa selamat mereka terganggu, mereka akan melakukan tindakan ‘lari’ atau ‘lawan’. Lari di sini itulah yang kita lihat mereka tidak mahu ke sekolah dan meraung-raung agar tidak ditinggalkan. Lawan pula, mereka akan mengamuk dan membuat hal seperti memukul adik, memukul kawan atau mengadu domba akan perkara buruk di sekolah. 







Ini semua adalah kerana mereka belum cukup persediaan mental dan emosi untuk berpisah dengan ibu atau bapa atau penjaga atau adik-adik mereka. 







Jalan penyelesainya ialah menyediakan anak-anak ini dari segi fizikal, mental, emosi dan jiwa mengenai bersekolah.







Persediaan yang boleh dilakukan oleh ibu bapa atau penjaga, iaitu: 







Daripada segi fizikal: Keperluan fizikal ialah untuk dapat hidup dengan baik dan selesa. Oleh itu pastikan mereka sihat, bersih, ada makanan dan minuman.
Baju dan kasut yang bersih. Kerana ini memberi mereka rasa selesa dari segi fizikal. Alat tulis yang mencukupi dan peralatan sekolah yang mencukupi. Tidak perlu berlebih-lebih membeli yang mahal-mahal terutamanya zaman ekonomi yang mencabar sekarang ini.






Daripada segi minda: Keperluan minda ialah untuk berfikir positif, belajar dan berfikir dengan cara menanamkan rasa positif mengenai sekolah dan apa yang akan dipelajari di sekolah.







Bina dan terus bina akan pemikiran yang bagus, positif mengenai guru-guru mereka, kawan-kawan mereka dan apa yang diajar di sekolah. 







Mungkin ada anak-anak yang sudah biasa ke tadika, minggu pertama ini mungkin mereka merasa bosan sedikit mengenai pelajaran mereka kerana mereka sudah belajar di tadika. 






Di sinilah peranan ibu bapa untuk memberitahu anak-anak bahawa bila kita sudah tahu semuanya menjadi senang.






Apa yang sangat penting ditanamkan pada anak-anak ini ialah semangat suka belajar dan mendalami ilmu.





Daripada segi emosi: Memerlukan rasa dikasihi dan selamat. Anak-anak perlu disediakan dengan perasaan berasa selamat untuk berpisah dan berasa selamat untuk berada di sekolah.





Oleh itu semasa hari suai kenal, kenalkanlah anak-anak dengan rakan-rakan baru, guru-guru, tempat-tempat penting seperti tandas, bilik guru dan sebagainya. Kenalkan dengan pak cik driver van atau bas sebelum hari dia perlu ambil pengangkutan itu.
Malah ibu bapa juga perlu membuat kaji selidik mengenai sekolah, guru-guru dan pemandu kenderaan yang bakal anak-anak gunakan.





Daripada segi perasaan seorang anak: Apabila masuk ke sekolah atau tadika, itu adalah dunia baru baginya. Ada anak-anak yang suka untuk meneroka. Ada juga yang takut. Oleh itu, ibu bapa perlu memberi mereka berasa selamat. Contoh, jika berjanji akan datang mengambilnya pada pukul 12.30 petang, pastikan anda ada di situ sebelum itu. Ini akan memberi rasa selamat pada anak itu.






Selain itu, anak juga perlu diberitahu, tempat untuk dia pergi sekiranya dia mendapati orang yang mengambilnya lambat. Ibu bapa mungkin boleh menyarankan anak itu pergi menunggu di kantin atau di bilik guru. 





Berilah jangka masa untuk anak itu tahu, bila maksud lambat. Supaya, sekira ada perkara berbangkit yang menyebabkan ibu atau bapa atau yang ditugaskan mengambil dia lambat, dia tidak berasa takut yang berlebihan.





Selain itu, anak juga sedang melalui banyak tekanan emosi. Kerana banyak perkara yang perlu dia menyesuaikan diri. Oleh itu berilah ruang untuk anak merasai dirinya dijaga dan dilindung.





Paling penting, ibu bapa sendiri perlu tahu bahawa anda sendiri sedang melalui perubahan yang penting dan boleh memberi tekanan emosi. Contohnya, berpisah dengan anak dan meninggalnya di dalam jagaan orang lain.





Maksud tersirat yang telah difahamkan bila anak masuk sekolah. Contohnya, ada ibu atau bapa yang merasai ‘kehilangan’ anak kerana anak kini sudah memasuki suatu alam baru iaitu alam persekolahan yang membawa maksud anak sudah besar dan tidak lagi memerlukan ibu bapa. 





Emosi yang melekat kepada fahaman tersirat ini boleh memberikan tekanan emosi pada ibu atau bapa. Oleh itu, anda perlu memahami perasaan anda dan mengiktiraf perasaan itu. Bila perasaan itu diiktiraf, anda akan dapat menggunakannya dengan baik.






Daripada segi jiwa: Jiwa perlu untuk berbakti dan berbuat baik. Di sinilah ramai ibu bapa terlepas pandang. Anak-anak perlu disedia dan faham tujuan utama mereka ke sekolah. Bila mereka sudah mempunyai tujuan yang logik, jelas, mengikuti zaman dan sealiran dengan keperluan jiwa, maka anak-anak akan menggunakan persekolahan dengan paling positif untuk mereka dan dunia. 





Jika ibu bapa mengenal sekolah itu sebagai tempat untuk mereka belajar, mendapat A supaya mereka mendapat kerja yang baik, gaji yang lumayan, hidup yang mewah, ini tidak lagi bersesuaian dengan zaman sekarang kerana anak-anak sudah terdedah kepada fenomena mereka yang tidak bersekolah tinggi tapi berjaya dalam hidup, hidup mewah dan sebagainya. 





Maka Ibu bapa perlu lebih bijak memberikan pengisian jiwa mengapa anak itu perlu ke sekolah. Sekadar meraih A, tidak akan menyebab anak itu terdorong untuk mahu melakukannya.




Melainkan disebalik erti meraih itu, disematkan kefahaman bahawa, bila dia berusaha menimba ilmu dia akan dapat membantu ramai orang. Dia akan menjadikan hidupnya bermakna. Jangan ingat anak kecil tidak akan faham.







No comments:

Post a Comment