Tuesday, December 11, 2012

Guru yang baik dari kaca mata ibu bapa





Guru yang baik dari kaca mata ibu bapa


Guru yang benar-benar mengajar anak mereka



Guru yang dianggap baik oleh ibu bapa ialah guru yang benar-benar mengajar anak mereka, bukannya guru yang mengajar mata pelajaran atau sesuatu subjek semata-mata. Dengan perkataan lain, guru perlu mengutamakan tugas untuk mengajar anak muridnya, kemudian barulah mengajar subjek yang diperlukan oleh anak muridnya itu. Seseorang guru tidak akan mengajar anak muridnya sekiranya dia tidak mengenali mereka iaitu sikap, latarbelakang keluarga, kegemaran, cita-cita, kelemahannya, potensinya dan sebagainya. Mengajar sesuatu subjek dalam bidang kepakaran guru memang senang, tetapi untuk menjadi guru bagi pelajar yang ingin pelajar yang ingin belajar subjek yang kita ajar, tidak semudah itu.


Ibu bapa menganggap bahawa guru yang baik itu tentu dapat mengenal pasti keupayaan seseorang anak muridnya. Dia juga perlu tahu had keupayaan itu dan tidak membuat sesuatu yang kurang atau melebihi had keupayaan tersebut. Guru mengambil berat dan perihatin terhadap anak-anak muridnya sebagai seseorang manusia, dan turut mengambil berat tentang masa depan mereka.Kebanyakan ibu bapa menganggap guru yang bersikap sedemikian sebagai super teacher.




Guru mengenali anak mereka



Sesetengah sekolah mengadakan majlis jamuan terbuka pada hari pendaftaran dan menganjurkan pelbagai program untuk pelajar baru dan lama dengan menjemput ibu bapa. Sekiranya pihak sekolah dapat mengambil kesempatan ini untuk menjalinkan hubungan yang mesra antara guru dengan ibu bapa, maka mereka akan membuat tanggapan awal bahawa guru-guru di sekolah tersebut sebagai guru yang cemerlang dan akan membimbing anak-anak mereka dengan baik. Ibu bapa akan memandang tinggi guru-guru yang mempunyai ilmu yang mendalam dalam bidangnya. Di samping itu, mereka juga sering membuat andaian bahawa sekiranya anda tidak mengenali anak mereka, anda sebenarnya lebih banyak temberang!


Ibu bapa juga menganggap seseorang guru itu berwibawa sekiranya dia dapat berkongsi pendapat mengenai maklumat berkenaan hal-hal yang berkaitan dengan akademik, sosial dan perkembangan emosi kanak-kanak. Guru yang baik akan sentiasa mengemaskinikan ilmunya tentang perkara-perkara tersebut.




Maklumat daripada pelajar





Perasaan dan tanggapan ibu bapa apabila berinteraksi dengan guru bagi pertama kali adalah sangat penting. Ibu bapa akan bercakap dengan rakan ibu bapa yang lain tentang guru itu. Malahan, terdapat ramai ibu bapa yang mendapat tanggapan mengenai seseorang guru hanya melalui gambaran yang diberikan oleh kanak-kanak mereka. Oleh itu, sikap guru ketika berinteraksi dengan para pelajar di dalam kelas juga mungkin akan dinilai oleh ibu bapa, iaitu sama ada sebagai guru yang garang, membosankan, bersopan, bijak, dan sebagainya, menurut gambaran yang diberikan oleh anaknya. Antara soalan yang sering diajukan oleh ibu bapa kepada kanak-kanak mereka untuk mengesan sikap seseorang guru adalah seperti berikut:



Kamu belajar apa di sekolah hari ini?

Guru buat apa sekiranya pelajar bising?

Apakah tindakan guru terhadap pelajar yang tidak memberikan perhatian?

Ada guru beri kerja rumah hari ini?




Walau bagaimanapun, kita sedia maklum bahawa tanggapan awal atau tanggapan pertama itu tidak semestinya menggambarkan keadaan yang sebenar mengenai seseorang. Guru yang baik juga ada kalanya menonjolkan beberapa kelemahan pada masa-masa tertentu kerana sifat manusia yang tidak sempurna. Namun, guru yang bijak akan dapat mengesan kelemahannya sendiri dan tidak menunjukkan kelemahan itu kepada pelajar-pelajarnya atau lebih baik lagi, dia tahu bagaimana hendak menggunakan kelemahannya itu untuk kebaikan pelajar pula! Di samping itu, dia perlu sedar bahawa pelajar juga ada kelemahan diri masing-masing dan tidak bersifat sempurna.





Guru bukan faktor utama





Ibu bapa perlu mendapat penjelasan bahawa guru bukanlah satu-satunya faktor yang menentukan kejayaan anaknya dalam hidup. Misalnya, faktor ibu bapa, rakan sebaya, dan persekitarannya juga memainkan peranan yang penting. Sekiranya faktor guru yang baik sahaja yang menentukan kejayaan seseorang, maka semua pelajar yang diajar oleh seseorang guru yang baik itu akan menjadi manusia yang berjaya dan semua ibu bapa akan berebut-rebut untuk meletakkan anak-anak mereka sebagai anak murid guru itu. Tetapi keadaan yang sebenarnya tidak sedemikian. oleh itu, apabila mempunyai peluang untuk memberi pandangan, guru perlu menjelaskan kepada ibu bapa tentang keadaan ini. Sekiranya guru dapat memberikan penjelasan ini dengan sempurna, ibu bapa akan menganggap guru itu sebagai guru yang baik.






Komunikasi






Guru yang dianggap baik oleh ibu bapa ialah guru yang dapat menerangkan apa-apa yang berlaku di dalam kelas anak-anak mereka. Misalnya tentang apa-apa program atau projek yang sedang akan dijalankan, tentang keadaan pelajar di dalam kelas, dan sebagainya. Penerangan itu mungkin dalam bentuk perbualan melalui telefon atau melalui surat, dan sebagainya. Namun, kebanyakan ibu bapa akan menganggap bahawa guru yang sentiasa berhubungan dengan mereka itu sebagai guru yang baik. Misalnya, terdapat guru yang meminta ibu bapa menandatangi kertas latihan pelajar yang mendapat markah yang rendah, untuk memastikan bahawa ibu bapa pelajar itu tahu akan keadaan anaknya.





Kerja rumah dan buku latihan





Ibu bapa yang mengambil berat tentang anak-anak mereka akan menilai keupayaan guru dengan melihat buku latihan anak-anak mereka. Buku latihan yang hampir tidak digunakan atau tidak diperiksa dalam jangka masa yang lama menggambarkan anda sebagai guru yang malas dan tidak boleh diharap. Kerja rumah yang terlalu banyak juga dianggap sebagai sesuatu yang membebankan pelajar. 


Oleh itu, guru perlu bijak mengimbangkan keadaan ini untuk memberikan keyakinan kepada ibu bapa. Misalnya, kerja rumah yang diberikan hendaklah berkualiti, iaitu sesuatu yang dapat mendorong pelajar untuk berdikari bagi sesuatu yang dilakukan sekadar untuk menunjukkan bahawa anda ada memeberikan kerja rumah. Sekiranya pelajar dapat berbual dengan ibu bapa mereka mengenai sesuatu yang menarik tentang kerja rumah yang anda berikan, anda akan dianggap sebagai guru yang baik!




Kerjasama




Guru perlu berfikiran positif dan membuat tanggapan bahawa memang ramai ibu bapa yang ingin melibatkan diri dan memberikan kerjasama demi kemajuan diri anak-anak mereka tetapi mereka tidak tahu begaimana kerjasama itu dapat diberikan.Sekirannya anda dapat menunjukkan cara bagaimana ibu bapa dapat membantu anda dan anak-anak mereka menurut keupayaan mereka, anda akan dianggap sebagai guru yang baik.




Mengajar itu merupakan satu seni




Terdapat ibu bapa yang menganggap sikap guru yang pandai menjaga hati anak-anak mereka dengan kerap menegur sapa, berbual-bual, dan sebagainya itu sebagai tindakan guru yang baik. Di samping itu, ada pula ibu bapa yang menilai guru melalui kemajuan akademik anak-anak mereka semata-mata, dan ada pula yang menilai guru dari kedua-dua aspek yang disebutkan tadi. Oleh itu, mengajar itu sebenarnya satu kombinasi seni dengan sains. Seni dalam kehalusannya menjaga perasaan pelajar dan sains dalam tugasnya untuk menyampaikan isi-isi ilmunya. Denga perkataan lain, guru perlu melakukan apa-apa yang terbaik seperti yang diharapkan oleh ibu bapa, atau lebih cepat lagi, guru hendaklah menganggap anak-anak muridnya itu sebagai anak-anaknya sendiri. Dan, satu-satunya cara yang paing biasa yang paling mudah bagi ibu bapa mengesan guru yang baik atau sebaliknya ialah dengan melihat sama ada anak-anak mereka berminat atau tidak untuk pergi ke sekolah. Apabila anak-anak mereka seronok pergi ke sekolah, ibu bapa juga demikian.


Walaupun ibu bapa mungkin membuat pelbagai tanggapan mengenai seseorang guru, mereka harus sedar bahawa tanggapan mereka itu tidak semestinya benar, terutamanya tanggapan negatif. Bagi pihak guru pula, kita perlu sedar bahawa tingkah laku dan perwatakan kita sentiasa diperhatikan dan mungkin menjadi tajuk utama di meja makan anak-anak murid kita. Dengan perkataan lain,guru tidak ubahnya seperti artist atau selebriti juga. Oleh itu, komunikasi yang kerap dan berterusan dengan ibu bapa adalah penting untuk memberikan tanggapan yang sebenar walaupun kita mungkin akan menghadapi kekangan yang banyak kerana beberapa masalah seperti jumlah pelajar yang terlalu ramai di dalam sesebuah kelas, ibu bapa yang tidak prihatin terhadap kemajuan anak-anak mereka, ibu bapa yang terlalu memanjakan anak-anak, dan ibu bapa yang terlupa bahawa seseorang guru itu bukan hanya mengajar anak mereka sahaja.





Sumber : Majalah Pendidik/Bil.10/November-Disember 2004/Isu Ibu bapa)