Penguasaan pengetahuan
perlu
dimanfaat bangunkan masyarakat
Ketika memberi syarahannya yang bertajuk 'Sahsiah Intelektual Pemimpin Fikir
Anjakan Paradigma Pembinaan Budaya Kecemerlangan' kepada kira-kira 2,000 orang
mahasiswa baharu jarak jauh Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Ibrahim
Ahmad Bajunid meminta agar mereka mempunyai 'ghairah ilmu' dan berusaha untuk
menguasainya sebaik mungkin dalam menyiapkan diri menghadapi cabaran masa
hadapan serta dapat membangunkan sahsiah intelektual dan maruah diri.
Katanya, hanya dengan
ilmu pengetahuan seseorang itu berupaya untuk membangunkan kapasiti
intelektualnya dan menjadikannya berbeza daripada mereka tidak mempunyai ilmu
pengetahuan?
Penguasaan sesuatu bidang ilmu itu perlu
disusuli dengan semangat cintakan negara yang utuh dan melihat kepentingan
masyarakat mengatasi kepentingan peribadi dalam menjaga kesejahteraan sosial
yang ada supaya tercapai hasrat pejuang yang ingin melihat kelangsungan negara
pada masa hadapan terjamin dan berada pada landasan yang betul.
Keghairahan menuntut ilmu sememangnya amat ketara dan jelas dalam kalangan
masyarakat. Lihat saja permohonan untuk mengikuti pengajian pada peringkat
ijazah di semua universiti tahun ini. Di USM saja lebih 25,000 permohonan
diterima untuk mengisi hanya 6,000 tempat termasuk untuk mengikuti pengajian
secara jauh jauh.
Dapatkan ijazah
Walau pun keghairahan ini lebih tertumpu kepada usaha untuk mendapatkan
segulung ijazah sebagai tanda pengiktirafan terhadap penguasaan ilmu dan
mencapai status ekonomi dan sosial yang baik, hakikatnya semua berlumba-lumba
untuk mengikuti pengajian setinggi yang mungkin.
Malah beberapa minggu lalu, kegagalan untuk mendapat tempat di universiti
dikaitkan dengan isu yang tidak relevan dan mula menuding jari terhadap banyak
perkara, termasuk mempertikaikan mereka yang diterima masuk mengikuti pengajian
berdasarkan persepsi dan prasangka. Ada yang juga yang sengaja bermain api
perkauman dan membuat tuduhan berlakunya perkara di luar meritokrasi dalam
membuat pemilihan berasaskan beberapa kejadian yang ditafsirkan sedemikian.
Sedangkan pada masa ini terdapat begitu ramai pelajar lepasan persekolahan
termasuk matrikulasi yang mencapai kelulusan yang amat tinggi dan
berlumba-lumba untuk mendapat tempat yang terhad. Persaingan ini bukan sekadar
dalam kalangan sesuatu kaum secara khusus malah semua kaum termasuk anak Melayu
yang mencapai keputusan sangat cemerlang.
Keghairahan menuntut ilmu ini adalah satu petanda betapa inilah antara nikmat
kemerdekaan negara hasil perjuangan mereka yang terdahulu yang impikan tegaknya
banyak menara ilmu yang dapat membantu melahirkan sumber manusia yang akan
memajukan dalam mengikut acuan sendiri. Berdasarkan catatan penubuhan
universiti, ternyata yang ingin ditegakkan ialah memastikan agar universiti
melahirkan sumber manusia yang dapat menyumbang dalam pembinaan negara bangsa,
pengekalan jati diri dalam acuan sendiri dan membangunkan masyarakat saintifik
yang berdaya saing dengan pelbagai disiplin ilmunya.
Penguasaan sesuatu bidang ilmu itu perlu disusuli dengan semangat cintakan
negara yang utuh dan melihat kepentingan masyarakat mengatasi kepentingan
peribadi dalam menjaga kesejahteraan sosial yang ada supaya tercapai hasrat
pejuang yang ingin melihat kelangsungan negara pada masa hadapan terjamin dan
berada pada landasan yang betul.
Sebaliknya, jika keghairahan ini hanya untuk mendapat kesenangan peribadi dan
menuding jari apabila tidak mendapatnya, maka laluan untuk mewujudkan
masyarakat yang berpendidikan tinggi dengan set minda yang betul, sayangkan
masyarakat dan negara, agak dan perlu diperbetulkan.
Justeru, seruan tokoh akademik seperti Profesor Ibrahim yang sudah lama
bergelumang dalam dunia pendidikan harus diambil serius. Pengajian tinggi dan
ilmu pengetahuan semestinya menjadi satu mekanisme utama untuk meningkatkan
maruah diri, mematangkannya dengan pengalaman melalui interaksi sosial yang
berterusan, perdebatan ilmiah, wacana ilmu dan komunikasi yang berkesan dengan
melihat kepentingan negara dan masyarakat sebagai suatu asas penting untuk
kelangsungan masa hadapan.
Kejayaan peribadi amat penting
Walau pun kejayaan peribadi itu amat penting sebagai asas untuk berbakti kepada
masyarakat, kejayaan sebenar ialah apabila ia dapat dikongsi dan dimanfaatkan
untuk melakukan perubahan yang diingini masyarakat, menghargai kebebasan,
menggunakan imaginasi, kreativiti serta inovasi untuk meningkatkan daya saing
dan mempertahankan keharmonian negara.
Kita sudah pun melihat bagaimana orang yang berilmu dan berijazah dengan
pemikiran terbuka mempertikaikan sesetengah perkara yang menjadi asas dan teras
keharmonian, menggunakan lesen kreatif untuk mempersendakan Jalur gemilang dan
lagu Negaraku serta yang buta budaya dengan mempersendakan agama sehingga
mengheret kepada perdebatan dan keributan dalam masyarakat.
Hakikatnya, ilmu pengetahuan, jati diri, kemerdekaan dan cintakan negara,
etika, moral dan agama adalah asas untuk diintegrasikan sebagai teras
kelestarian masa hadapan.
* Penulis ialah ialah Timbalan Pendaftar Kanan Pejabat Naib Canselor Universiti
Sains Malaysia