Guru yang baik dari kaca mata ibu bapa
Guru yang benar-benar mengajar anak
mereka
Guru yang dianggap baik oleh ibu bapa
ialah guru yang benar-benar mengajar anak mereka, bukannya guru yang mengajar
mata pelajaran atau sesuatu subjek semata-mata. Dengan perkataan lain, guru
perlu mengutamakan tugas untuk mengajar anak muridnya, kemudian barulah
mengajar subjek yang diperlukan oleh anak muridnya itu. Seseorang guru tidak
akan mengajar anak muridnya sekiranya dia tidak mengenali mereka iaitu sikap,
latarbelakang keluarga, kegemaran, cita-cita, kelemahannya, potensinya dan
sebagainya. Mengajar sesuatu subjek dalam bidang kepakaran guru memang senang,
tetapi untuk menjadi guru bagi pelajar yang ingin pelajar yang ingin belajar
subjek yang kita ajar, tidak semudah itu.
Ibu bapa menganggap bahawa guru yang baik itu tentu
dapat mengenal pasti keupayaan seseorang anak muridnya. Dia juga perlu tahu had
keupayaan itu dan tidak membuat sesuatu yang kurang atau melebihi had keupayaan
tersebut. Guru mengambil berat dan perihatin terhadap anak-anak muridnya
sebagai seseorang manusia, dan turut mengambil berat tentang masa depan
mereka.Kebanyakan ibu bapa menganggap guru yang bersikap sedemikian sebagai
super teacher.
Guru mengenali anak mereka
Sesetengah sekolah mengadakan majlis
jamuan terbuka pada hari pendaftaran dan menganjurkan pelbagai program untuk
pelajar baru dan lama dengan menjemput ibu bapa. Sekiranya pihak sekolah dapat
mengambil kesempatan ini untuk menjalinkan hubungan yang mesra antara guru
dengan ibu bapa, maka mereka akan membuat tanggapan awal bahawa guru-guru di
sekolah tersebut sebagai guru yang cemerlang dan akan membimbing anak-anak
mereka dengan baik. Ibu bapa akan memandang tinggi guru-guru yang mempunyai
ilmu yang mendalam dalam bidangnya. Di samping itu, mereka juga sering membuat
andaian bahawa sekiranya anda tidak mengenali anak mereka, anda sebenarnya
lebih banyak temberang!
Ibu bapa juga menganggap seseorang guru itu
berwibawa sekiranya dia dapat berkongsi pendapat mengenai maklumat berkenaan
hal-hal yang berkaitan dengan akademik, sosial dan perkembangan emosi
kanak-kanak. Guru yang baik akan sentiasa mengemaskinikan ilmunya tentang
perkara-perkara tersebut.
Maklumat daripada pelajar
Perasaan dan tanggapan ibu bapa apabila
berinteraksi dengan guru bagi pertama kali adalah sangat penting. Ibu bapa akan
bercakap dengan rakan ibu bapa yang lain tentang guru itu. Malahan, terdapat
ramai ibu bapa yang mendapat tanggapan mengenai seseorang guru hanya melalui
gambaran yang diberikan oleh kanak-kanak mereka. Oleh itu, sikap guru ketika
berinteraksi dengan para pelajar di dalam kelas juga mungkin akan dinilai oleh
ibu bapa, iaitu sama ada sebagai guru yang garang, membosankan, bersopan,
bijak, dan sebagainya, menurut gambaran yang diberikan oleh anaknya. Antara
soalan yang sering diajukan oleh ibu bapa kepada kanak-kanak mereka untuk
mengesan sikap seseorang guru adalah seperti berikut:
Kamu belajar apa di sekolah hari ini?
Guru buat apa sekiranya pelajar bising?
Apakah tindakan guru terhadap pelajar yang tidak
memberikan perhatian?
Ada guru beri kerja rumah hari ini?
Walau bagaimanapun, kita sedia maklum bahawa
tanggapan awal atau tanggapan pertama itu tidak semestinya menggambarkan
keadaan yang sebenar mengenai seseorang. Guru yang baik juga ada kalanya
menonjolkan beberapa kelemahan pada masa-masa tertentu kerana sifat manusia
yang tidak sempurna. Namun, guru yang bijak akan dapat mengesan kelemahannya
sendiri dan tidak menunjukkan kelemahan itu kepada pelajar-pelajarnya atau
lebih baik lagi, dia tahu bagaimana hendak menggunakan kelemahannya itu untuk
kebaikan pelajar pula! Di samping itu, dia perlu sedar bahawa pelajar juga ada
kelemahan diri masing-masing dan tidak bersifat sempurna.
Guru bukan
faktor utama
Ibu bapa perlu mendapat penjelasan
bahawa guru bukanlah satu-satunya faktor yang menentukan kejayaan anaknya dalam
hidup. Misalnya, faktor ibu bapa, rakan sebaya, dan persekitarannya juga
memainkan peranan yang penting. Sekiranya faktor guru yang baik sahaja yang
menentukan kejayaan seseorang, maka semua pelajar yang diajar oleh seseorang
guru yang baik itu akan menjadi manusia yang berjaya dan semua ibu bapa akan
berebut-rebut untuk meletakkan anak-anak mereka sebagai anak murid guru itu.
Tetapi keadaan yang sebenarnya tidak sedemikian. oleh itu, apabila mempunyai
peluang untuk memberi pandangan, guru perlu menjelaskan kepada ibu bapa tentang
keadaan ini. Sekiranya guru dapat memberikan penjelasan ini dengan sempurna,
ibu bapa akan menganggap guru itu sebagai guru yang baik.
Komunikasi
Guru yang dianggap baik oleh ibu bapa
ialah guru yang dapat menerangkan apa-apa yang berlaku di dalam kelas anak-anak
mereka. Misalnya tentang apa-apa program atau projek yang sedang akan
dijalankan, tentang keadaan pelajar di dalam kelas, dan sebagainya. Penerangan
itu mungkin dalam bentuk perbualan melalui telefon atau melalui surat, dan
sebagainya. Namun, kebanyakan ibu bapa akan menganggap bahawa guru yang
sentiasa berhubungan dengan mereka itu sebagai guru yang baik. Misalnya,
terdapat guru yang meminta ibu bapa menandatangi kertas latihan pelajar yang
mendapat markah yang rendah, untuk memastikan bahawa ibu bapa pelajar itu tahu
akan keadaan anaknya.
Kerja rumah dan buku latihan
Ibu bapa yang mengambil berat tentang
anak-anak mereka akan menilai keupayaan guru dengan melihat buku latihan
anak-anak mereka. Buku latihan yang hampir tidak digunakan atau tidak diperiksa
dalam jangka masa yang lama menggambarkan anda sebagai guru yang malas dan
tidak boleh diharap. Kerja rumah yang terlalu banyak juga dianggap sebagai sesuatu
yang membebankan pelajar.
Oleh itu, guru perlu bijak mengimbangkan keadaan ini
untuk memberikan keyakinan kepada ibu bapa. Misalnya, kerja rumah yang
diberikan hendaklah berkualiti, iaitu sesuatu yang dapat mendorong pelajar
untuk berdikari bagi sesuatu yang dilakukan sekadar untuk menunjukkan bahawa
anda ada memeberikan kerja rumah. Sekiranya pelajar dapat berbual dengan ibu
bapa mereka mengenai sesuatu yang menarik tentang kerja rumah yang anda
berikan, anda akan dianggap sebagai guru yang baik!
Kerjasama
Guru perlu berfikiran positif dan membuat tanggapan
bahawa memang ramai ibu bapa yang ingin melibatkan diri dan memberikan
kerjasama demi kemajuan diri anak-anak mereka tetapi mereka tidak tahu
begaimana kerjasama itu dapat diberikan.Sekirannya anda dapat menunjukkan cara
bagaimana ibu bapa dapat membantu anda dan anak-anak mereka menurut keupayaan
mereka, anda akan dianggap sebagai guru yang baik.
Mengajar itu merupakan satu seni
Terdapat ibu bapa yang menganggap sikap guru yang
pandai menjaga hati anak-anak mereka dengan kerap menegur sapa, berbual-bual,
dan sebagainya itu sebagai tindakan guru yang baik. Di samping itu, ada pula
ibu bapa yang menilai guru melalui kemajuan akademik anak-anak mereka
semata-mata, dan ada pula yang menilai guru dari kedua-dua aspek yang
disebutkan tadi. Oleh itu, mengajar itu sebenarnya satu kombinasi seni dengan
sains. Seni dalam kehalusannya menjaga perasaan pelajar dan sains dalam
tugasnya untuk menyampaikan isi-isi ilmunya. Denga perkataan lain, guru perlu
melakukan apa-apa yang terbaik seperti yang diharapkan oleh ibu bapa, atau
lebih cepat lagi, guru hendaklah menganggap anak-anak muridnya itu sebagai
anak-anaknya sendiri. Dan, satu-satunya cara yang paing biasa yang paling mudah
bagi ibu bapa mengesan guru yang baik atau sebaliknya ialah dengan melihat sama
ada anak-anak mereka berminat atau tidak untuk pergi ke sekolah. Apabila
anak-anak mereka seronok pergi ke sekolah, ibu bapa juga demikian.
Walaupun ibu bapa mungkin membuat pelbagai
tanggapan mengenai seseorang guru, mereka harus sedar bahawa tanggapan mereka
itu tidak semestinya benar, terutamanya tanggapan negatif. Bagi pihak guru
pula, kita perlu sedar bahawa tingkah laku dan perwatakan kita sentiasa
diperhatikan dan mungkin menjadi tajuk utama di meja makan anak-anak murid
kita. Dengan perkataan lain,guru tidak ubahnya seperti artist atau selebriti
juga. Oleh itu, komunikasi yang kerap dan berterusan dengan ibu bapa adalah
penting untuk memberikan tanggapan yang sebenar walaupun kita mungkin akan
menghadapi kekangan yang banyak kerana beberapa masalah seperti jumlah pelajar
yang terlalu ramai di dalam sesebuah kelas, ibu bapa yang tidak prihatin
terhadap kemajuan anak-anak mereka, ibu bapa yang terlalu memanjakan anak-anak,
dan ibu bapa yang terlupa bahawa seseorang guru itu bukan hanya mengajar anak
mereka sahaja.
Sumber : Majalah Pendidik/Bil.10/November-Disember 2004/Isu Ibu bapa)
Wow....best giler. Ini barulah blogger sejati.Tahniah, Cikgu Rohani.
ReplyDeleteBagus blog cikgu. Banyak maklumat yang ada.
ReplyDeleteBagus Cikgu Rohani. Saya banyak belajar dari blog cikgu.
ReplyDeleteBlog yang menarik dan berguna untuk P&P, teruskan usaha!
ReplyDelete