Anak gembala jadi sasterawan
REJAB Ismail atau nama pena Rejab F.I antara
segelintir sasterawan dekad 1960-an yang terus konsisten, prolifik dan
pemikirannya teranjak selari dengan zaman. Sebenarnya tidak banyak
sasterawan yang menang mengharungi zaman dan mendepani perubahan pola
pemikiran dengan generasi semasa. Lalu banyak yang mengambil langkah
memperlahankan langkah atau mengundurkan diri dari gelanggang sastera.
Malah ukuran kesenimanan seseorang bukanlah berapa tingginya
gelombang yang melambung dia di puncak, tetapi berapa panjangkah usia
kesenimanannya. Dalam konteks ini Rejab yang kini berusia 72 tahun terus
menulis sejak berusia 19 tahun. Bermakna sepanjang 50 tahun Rejab tidak
pernah berhenti menulis dalam kesibukan kerjayanya sebagai pendidik di
banyak sekolah di Perlis.
Buku ini adalah memoir Rejab, seorang budak kampung yang menggembala
lembu, bersawah dan membesar bersama nyamuk dan agas, menggapai
cita-cita menjadi sasterawan. Hingga kini, ketika saya singgah di rumah
agamnya di pinggir bandar Kangar, Perlis, Rejab masih menulis. Beliau
boleh berhenti daripada kerjaya yang sebati dengannya sebagai pendidik
tetapi tidak boleh meninggalkan pena dan kertas. Hidupnya penuh dengan
aksara, kata dan frasa.
Rejab sangat terhutang budi kepada akhbar mingguan Utusan Zaman (bertulisan jawi), majalah Mastika dari
bertulisan jawi hingga rumi yang menjadi pentas awal memperagakan
karya-karya berupa cerpen dan puisi. Beliau adalah antara sejumlah besar
sasterawan yang mula bertapak menerusi Utusan Zaman dan Mastika kemudian Mingguan Malaysia.
Daripada memoir ini, kejayaan Rejab sebagai sasterawan kelihatan
dibentuk oleh kesedaran untuk mengubah taraf hidup dan pemikiran
masyarakat. Seorang guru tahun awal 1960-an adalah pemikir bagi dalam
kalangan masyarakat yang rata-rata tidak menguasai ilmu baca dan tulis
yang tinggi. Rejab adalah pemikir dan pemerhati sosial zamannya, malah
mempunyai kesedaran untuk mengubah kepada keadaan yang lebih baik.
Beliau menggunakan kuasa sastera.
Pengalaman hidup sebagai budak kampung yang daif mencelikkan Rejab
sebagai agen perubahan. Boleh dikatakan hampir semua karya berbentuk
novel, cerpen dan puisi dicetuskan daripada milieu sosial yang
melingkari hidupnya sejak kanak-kanak. Karya-karya Rejab bukan sahaja
mahu memajukan masyarakat supaya berfikir di luar kotak, malah
menekankan kerukunan sosial dan moral yang sedikit demi sedikit terhakis
oleh amukan modenisasi di pendalaman.
Rejab sangat prihatin terhadap kerukunan sosial, tata susila dan
kemajuan yang diperjuangkan tentunya bukanlah fizikal semata-mata.
Kemajuan dari sudut manusiawi menjadi agenda utama Rejab dalam
karya-karyanya.
Walaupun sibuk dengan tugas sebagai pendidik, Rejab mempunyai masa
untuk menulis novel, cerpen dan puisi. Yang menariknya setiap karya yang
ditulis mempunyai cerita benar yang dijadikan ilham bagi membuahkan
karya tersebut. Rejab berjaya memindahkan fakta menjadi fiksi ke dalam
karya tetapi memperkatakan isu sebenar yang dilaluinya ketika karya itu
dihasilkan. Selepas menelaah memoir ini jelaslah bahawa Rejab hadir
dalam setiap karyanya.
Daripada memoir ini juga kita dapat melihat perjuangan memartabatkan
bahasa Melayu yang diperjuangkan oleh Rejab sejak setengah abad lalu.
Hingga kini, beliau antara sasterawan yang lantang mengkritik pihak
tertentu yang terlalu berlembut dan tidak berani mengangkat kedudukan
bahasa Melayu.
Kerana prinsip memperjuangkan bahasa Melayu ini jugalah Rejab
mengkritik keras Tan Sri Ismail Hussein ketika memimpin Gabungan Penulis
Nasional Malaysia (Gapena) yang dianggap bertolak ansur dalam isu
bahasa Melayu. Rejab seorang yang tidak "malu alah" untuk berkata
sesuatu yang benar sekalipun kepada orang yang sangat dihormati.
Rejab mencatatkan rekod kecemerlangan tersendiri apabila berjaya
memimpin Persatuan Penulis Perlis (3P) selama 32 tahun mulai 1971 hingga
2003. Apa lagi kalau bukan kemampuan yang membolehkan beliau memimpin
sebegitu lama dan menggerakkan 3P sebagai persatuan sastera dan budaya
terpenting di wilayah utara.
Di bawah kepimpinan Rejab, 3P menjadi persatuan penting dalam usaha
melestarikan seni dan budaya tradisi negeri Perlis. Banyak tokoh seni
dan budaya diberi penghargaan sebagai Tokoh Budaya, antaranya tokoh
penglipurlara Mahmud Wahid (Awang Batil) dan Ismail Hassan (Tok
Selampit).
Kesan pertama apabila menyusuri memoir ini ialah membawa kita kembali
pada milieu masyarakat tahun 1950-an hingga 1970-an di kawasan
pendalaman di negeri Perlis. Membawa kita merasakan dengan jiwa tentang
alam dan manusia di satu sudut negeri yang terasing dari limpahan
pembangunan pada dekad berkenaan.
Kepada generasi masa kini, memoir ini boleh dijadikan rujukan untuk
melihat dan memahami sosiobudaya masa lampau, khususnya di sekitar alam
yang melingkari kehidupan Rejab. Walaupun Rejab menceritakan kisah
hidupnya tetapi beliau secara tanpa sedar menggambarkan keadaan sosial
waktu itu.
Zaman itu telah jauh berlalu, negeri Perlis kini telah membangun sama
seperti negeri lain di negara ini. Kesan kedaifan seperti yang dilalui
oleh Rejab sudah tidak ada lagi. Untuk menjiwainya perlulah menelaah
memoir Rejab.
Secara umumnya ini boleh dianggap memoir seorang sasterawan dan juga
memoir seorang pendidik. Memoir ini terbahagi kepada dua; kedua-dua
bidang yang digauli oleh pengarang diberi penekanan yang seimbang.
Kepada pendidik generasi sekarang, memoir ini sangat berguna untuk
menghayati kesukaran pendidik terdahulu mendepani kesukaran bagi
memajukan anak bangsa.
Dekad 1960-an adalah dekad yang mencabar, kemiskinan dan kemunduran
berada di mana-mana. Kepentingan ilmu bukan menjadi keutamaan kepada
masyarakat yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Di
situlah peranan pendidik untuk membuka jendela fikir masyarakat bahawa
hanya ilmu sahaja yang boleh mengeluarkan generasi selepas mereka dari
belenggu kemiskinan. Dan Rejab melakukan tugas ini dengan sebaiknya.
No comments:
Post a Comment